Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Sunday, May 29, 2011

Hotel perlu tolak ansur - Sinar Harian

KUAH - Pengunjung termasuk kaki pancing dan nelayan pantai di sini kecewa dengan sikap pengurusan sebuah hotel di pekan Kuah yang menjadikan perairan dan pantai sebagai kawasan larangan.

Menurut nelayan di sini, mereka pernah dihalau jika memancing atau melabuhkan pukat di laut berhampiran hotel berkenaan.
AL :- Kenapa dihalau nelayan. Kawasan laut berhampiran bukan dibawah kawalan hotel. Ia boleh digunakan oleh sesiapa saja.

Dalam perkembangan lain, satu lagi dakwaan, warga pendidik dan waris di sini turut kesal apabila pihak pengurusan hotel enggan memberi kebenaran kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) meminjam dan mendapatkan bekalan elektrik bagi Pertandingan Kawad Kaki Kelab Remaja Sekolah dan Pasukan Beruniform Sekolah peringkat daerah selama dua hari, di Dataran Pekan Rabu, minggu lalu.

Menurut guru yang enggan dikenali, mereka akur dengan pihak hotel berkenaan, bagaimanapun berasa terkilan kerana selama ini banyak aktiviti dan tempahan penginapan membabitkan jabatan dibuat di hotel terbabit.
AL :- Kepada Pejabat Pelajaran Daerah. Kalau betul Hotel tersebut enggan bekerjasama maka keluarkanlah pekeliling utk bagi arahan utk aktiviti PPD & sekolah tidak tinggal di hotel ini. Sepatutnya Hotel perlu amalkan CSR "Corporate Social Responsibilty" utk tolong bagi bekalan elektrik kepada aktiviti tersebut. Tapi pastikan PPD buatlah surat rasmi utk mintak bekalan elektrik diberikan kepada sebarang aktiviti. Bawak bincang...

Beberapa waris pula mencadangkan, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) perlu memasang bekalan elektrik tetap di dataran berkenaan supaya tidak perlu lagi mengharapkan bantuan daripada hotel berdekatan.
AL : Bukan pihak LADA. Tapi LADA bersama-sama dgn TNB perlu membekalkan bekalan kuasa sebab disitulah byk aktiviti dijalankan. Takkan nak harapkan Hotel @ kedai berdekatan bagi bekalan elektrik.


Wednesday, May 11, 2011

Taraf kewarganegaraan dinafi

KUAH - Seorang warganegara Thailand yang berkahwin dengan rakyat Malaysia terpaksa berulang-alik ke negaranya untuk memperbaharui visa sejak 25 tahun lalu.

Rosni Yudi, 47, merupakan rakyat Thailand yang berkahwin dengan rakyat tempatan, Ramli Ahmad dan telah menetap di Malaysia sejurus selepas perkahwinannya.

“Selepas berkahwin, saya berusaha mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia tetapi gagal berbuat demikian sehinggalah suami saya meninggal beberapa tahun lalu.

“Pada permulaan kemasukan saya ke Malaysia, selepas berkahwin saya ada memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapat hak kerakyatan dan diberikan kad kuning (permit masuk),” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun telah menetap di sini selama 25 tahun tetapi dia masih gagal mendapatkan taraf penduduk tetap.

“Kesemua anak saya seramai lapan orang dilahirkan di Langkawi dan mempunyai kad pengenalan serta mendapat taraf kewarganegaraan yang sah,” katanya.

Rosni berkata, dia terpaksa berulang-alik dari Langkawi ke Thailand hampir setiap bulan untuk memperbaharui visanya sejak 25 tahun lalu dan ini merupakan sesuatu yang amat menyusahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Rawi Abdul Hamid berkata, masih ramai penduduk Langkawi yang berkahwin dengan penduduk asing dan telah menetap di sini melebihi 20 tahun tetapi masih tidak mendapat taraf kewarganegaraan kerana kerenah birokrasi yang amat sulit.

“Saya memohon kepada JPN supaya dapat memudahkan proses permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan kerana ia amat membebankan penduduk tempatan,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia menerima hampir 200 permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan yang disalurkan melalui pihak ADUN Ayer Hangat dan angka ini merupakan sesuatu yang amat besar dan membimbangkan.

“Sekiranya di Sabah, JPN boleh menubuhkan unit bergerak yang memasuki kawasan pendalaman untuk mendaftarkan penduduk-penduduk di sana.

“Jadi, kenapa JPN di sini tidak berusaha melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini?,” katanya.

Sinar Harian

AL :-
Diharap pihak JPN bertindak. Bukan besaq pun Langkawi ni.. Cek cadang buatkan dgn JPN satu sesi terbuka dikelolakan oleh DUN Ayer Hangat dgn JPN.. Mintak bagitau semua kawasan DUN Ayer Hangat sapa2 xdak i.c datang dgn dokumen yg diperlukan..

Friday, February 11, 2011

Masalah sampah hanya 5 peratus

KUAH - Pelbagai pihak diingatkan supaya tidak merendahkan imej Langkawi hanya disebabkan masalah sampah.

Pegawai Daerah Langkawi, Abdul Aziz Abdul Ghani berkata, kawasan yang terjejas disebabkan masalah sampah hanya sekitar lima peratus sahaja termasuk kawasan pantai.

Menurutnya, pada setengah tahun pertama tahun lalu, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan memperindah pulau ini.

“Manakala pada tahun ini Kementerian Kewangan telah meluluskan RM5 juta setahun bagi kerja-kerja yang sama.

“Orang ramai tentu boleh lihat perubahan ketara mengenai masalah sampah dan kawasan yang lima peratus itu seperti di Pantai Chenang sedang diselenggarakan,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan cek di Pejabat Daerah, Kuah.

Abdul Ghani berkata, pendekatan dilakukan terhadap kerja-kerja pemotongan rumput di jalan protokol, memperbaiki lampu jalan dan meningkatkan kebersihan tandas.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) sedang berusaha memperindah tandas setanding kawasan rehat dan riadah seperti di Lebuh raya Utara Selatan.

“Kami akan meletakkan operator dan pencuci tandas bagi memastikan tandas awam sentiasa bersih dan berbau harum.

“Selain itu sebanyak 300 tong sampah akan ditambah sekitar Pantai Chenang dan kampung berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak hotel juga disaran sentiasa mengingatkan tetamu hotel supaya menjaga kebersihan.

 AL :-
5%. Itu statistik berdasarkan apa. Kalau tgk baru-baru ini di You-tube pun ada video keadaan sampah yg teruk di Pulau Tuba. Jgn hanya tertumpu ke kawasan pelancong dalam menangani masalah sampah. Kena buat aktiviti kesedaran sikit kepada para pelancong & penduduk setempat.

Tuesday, February 8, 2011

Tragedi bot karam

KUAH - Seorang masih hilang manakala dua selamat dalam kejadian bot karam selepas terlanggar seketul batu besar di Teluk Penarak, pagi kelmarin.

Ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, Shukor Ramjan, 29, dan rakannya, Muhammad Fitri Baharudin, 23, dalam perjalanan dari Kuah, ke Kuala Perlis untuk menghantar rakan mereka Zairy Zainol, 30, yang dipercayai masih hilang.

Terdahulu, Zairy yang tiba bersama Muhammad Fitri di Langkawi awal pagi kelmarin, dikatakan meminta pertolongan Shukor menghantarnya pulang ke Kuala Perlis dengan menggunakan bot gentian kaca selepas tertinggal feri penumpang terakhir pada jam 7 malam.

Namun, selepas beberapa minit, bot dipandu Shukor terlanggar seketul batu besar berhampiran Pulau Bumbun Besar mengakibatkan bot pecah dan karam.

Shukor berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bertiga tidak sempat berbuat apa-apa melainkan berusaha menyelamatkan diri masing-masing dari lemas dengan berenang ke pulau berhampiran kira-kira 500 meter. 

Lagi di Sinar Harian

AL :- 
Sedih dgn apa yg berlaku. Pakailah life-jacket, mungkin ia boleh menyelamatkan kita.. 

 
Updates :-

LANGKAWI, Feb 7 (Bernama) -- The body of a man reported missing after the boat he was in capsized last Friday was found floating near Jeti Pulau Tuba in Kuah here Monday.

Marine Operations Force (Region 1) Commanding Officer DSP Sallehuddin Mat Zaman said the body of Zairy Zainol, 32, from Kampung Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis, was found at 9am.


AL :
Such a sad tragedi.

Thursday, January 13, 2011

Tekun bantu anak muda berniaga

KUAH - Hasil dari daya usaha dan sokongan keluarga seorang remaja mendapat pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk kali ketiga sejak memulakan perniagaan kuih apam balik di pasar malam.

Ahmad Fitri Idnan, 33, dari Kampung Sungai Itau berkata, perniagaan kuih apam balik ini diteruskan sejak era datuknya lagi.

“Saya tidak meneruskan pelajaran disebabkan masalah kewangan, selepas mendapat tunjuk ajar dan petua dari keluarga, saya terus menjalankan perniagaan ini dengan serius.

“Kali pertama pinjaman saya sebayak RM10,000 dan kedua RM20,000 kesemuanya pinjaman telah dijelaskan,” katanya ketika ketika majlis penyerahan cek pinjaman Tekun di Kuah.

Menurutnya, pinjaman kali kali ini sebanyak RM30,000 akan digunakan untuk melebarkan lagi pasaran kuih apam balik.

Hadir sama, Ahli Parlimen Datuk Abu Bakar Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Pengurus Tekun daerah Langkawi, Mohd Nazim Yahya. 

Utk lebih Lanjut sila beli Sinar @ layari sinar harian online..

AL:-
Jgn tak bayar balik udah le..

Friday, January 7, 2011

GLC perlu kerjasama penduduk setempat ~ Dato' Johari Baharom

KUAH - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bercadang membuat sebarang projek di Langkawi perlu berbincang dengan individu berkaitan bagi mengelakkan pembaziran.

Saranan itu disuarakan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom ketika meninjau ke beberapa pengkalan nelayan

Menurutnya, kegagalan projek sangkar ikan dan jeti nelayan di Penarak yang tidak praktikal perlu dijadikan iktibar.

“Perlu berbincang dengan mereka yang bakal menggunakannya, bukan mendirikan projek hanya mengikut aspek teknikalnya sahaja.

“Setelah siap projek, mereka yang bakal menggunakannya tidak boleh berbuat demikian, kami setuju dengan prinsip teknikal tetapi kehendak pengguna perlu dipenuhi juga,” katanya ketika ditemui wakil Sinar Harian.

Mohd Johari berkata, pihak kementerian mengazetkan kawasan Selat Bagan Nyior di Pulau Tuba sebagai kawasan memancing dengan melepaskan beberapa benih ikan.

Menurutnya, industri gamat akan dimulakan semula dengan mengadakan pusat penyelidikan gamat. Sebuah tukun akan dibina di kawasan Temoyong bagi pembenihan ikan sekali gus memulakan industri makanan siput sedut.

“Projek di Kuala Chenang yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tahun lalu telah ditambah peruntukan dari RM7 juta kepada RM9 juta.

“RM 7 juta untuk pembinaan jeti manakala RM 2 juta untuk tembok menahan air, katanya..

Anaklangkawi :-
Cek boleh gelak ja dgr kenyataan Dato'. Sebenarnya Dato' Bakaq dah 'highlight' benda ni kat Parlimen. Tapi biasala. GLC ni kadang2 bodoh piang sikit. Konon depa power. Lani dok kata nak buat projek sangkaq la apala. Sedangkan LKIM yg pakar bidang tu pun fail buat projek tu.

Apa2 pun, kalau nak buat projek apa2 sekalipun di Langkawi. Tolong 'consult' org2 lama di Langkawi @ LADA @ belajar dr kesilapan. Jgn buat benda setakat gajah putih @ hangat2 taik lembu.


Sinar-Harian 

Tuesday, January 4, 2011

Dua beradik nyaris rentung

KUAH - Dua beradik terpaksa meredah asap yang menyelubungi ruang rumah untuk menyelamatkan diri selepas tersedar rumah kedai dua tingkat yang didiami, hampir hangus dijilat api dalam kebakaran di Taman Medan Berjaya sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM100,000.

Ketika kejadian, mereka nyenyak tidur dalam bilik dan hanya tersedar selepas melihat asap memasuki bawah pintu bilik berkenaan.

Sinar Harian - utk lihat berita penuh.

Timbermad :-
Musibah yg amat malang menimpa mereka. La ni kita tgk depa ni dapat tak RM1,000 bantuan & bantuan2 lain mcm yg kena kat org2 Bukit Malut.

Monday, December 27, 2010

Seni Nostalgia gamit kenangan

KEDAWANG - Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib terharu ketika melihat sebuah lukisan bertajuk Kuah pada Pameran Seni Nostalgia Langkawi di lobi info teater, Underwaterworld Langkawi.

Beliau dilihat menghabiskan masa kira-kira 30 minit menatap lukisan karya Mohd Jamil Ahmad yang bernilai RM5,800 itu.

Lukisan yang menggunakan medium acrylic, memaparkan keadaan Langkawi pada tahun 70-an yang serba daif.

Abu Bakar berkata, keadaan kini, sudah jauh berubah, banyak pembangunan dikecap hasil anjakan paradigma yang dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Penduduk Langkawi perlu bersyukur dengan pembangunan yang dinikmati, kesedaran itu perlu wujud pada generasi muda.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pengangkutan dan jalan raya, berbanding dahulu di mana kami terpaksa menggunakan bot kecil untuk berulang-aling ke tanah besar,” katanya ketika ditemui.

Bagi Mohd Jamil, dia mengambil masa dua minggu untuk mencari dan melakukan kajian terhadap wajah lama Langkawi.

Menurutnya, bagi menyiapkan karya ini pula, dia mengambil masa dua minggu sebelum dipamerkan.

“Saya melihat jenis kenderaan, yang digunakan ketika itu, malah zaman itu saya belum lahir lagi, untuk mewujudkan mood adalah satu perkara yang sukar,” katanya.

Beliau adalah antara 38 pelukis dan juru foto termasuk dari Indonesia, Brunei, Filipina, Canada dan Sri Lanka.

Pameran itu bakal berlangsung selama dua minggu dengan kerjasama Richarts Wejaya.

Sinar Harian

-AL :-
Sebenarnya amat susah utk mencari gambar & nostalgia lama mengenai Langkawi. Mungkin kita boleh cadangkan satu muzium kecil utk langkawi bagi mengingkap sejarah pulau lagenda kita..

Tuesday, December 7, 2010

Kenyataan Wan Azizah terus dikecam ~ NorSaidi Nayan Pemuda UMNO

KUAH - Lebih 500 orang berhimpun di Kompleks Pekan Rabu selama 40 minit bagi membantah kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu konsep Ketuanan Melayu dihapuskan.

Terpapar lebih 10 sepanduk dibawa oleh mereka bagi menunjukkan tanda protes.

Kira-kira 20 pegawai polis bertugas sekitar lokasi berkenaan bagi mengawal keselamatan perhimpunan tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nanyan; Ketua Wanita UMNO Langkawi, Mariyam Othman dan wakil Persatuan Seni Silat Bangau Putih, Harun Jasni Ahmad antara yang berucap dalam perhimpunan terbabit.

Norsaidi berkata, PKR yang mempersoalkan Ketuanan Melayu pada dasarnya mereka adalah golongan tidak bersyukur selepas menikmati pembangunan dan keamanan di negara ini.

Menurutnya, antara perkara yang dipersoalkan oleh UMNO adalah tindakan pembangkang memberi kesempatan kepada orang bukan Muslim membaca ayat suci al-Quran dan mempertikaikan Ketuanan Melayu di dalam Fasal 153 Perlembagaan Malaysia.

“Fasal 153 adalah hak Melayu yang tidak boleh digugat manakala membiarkan orang bukan Muslim membaca ayat suci al-Quran adalah satu penghinaan secara halus.

“Mereka sepatutnya bersatu dengan UMNO sebagai rumpun Melayu, mempertahankan hak Melayu dan bersama-sama membangunkan negara ini,” katanya selepas perhimpunan tersebut.

Sinar Harian


AL :-
Jgn sampai jem satu Langkawi sudahla.. Janji mesej sampai kepada mereka..

Friday, November 26, 2010

Program Juara Rakyat Langkawi : Kelulusan Kerajaan PAS diperlukan

LANGKAWI, 25 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) masih menunggu kelulusan tanah daripada kerajaan Kedah untuk membina Jeti Nelayan Sungai Cenang di sini.

Pengarah LKIM Kedah Muhamad Noor Had berkata permohonan tanah seluas 1.6 hektar telah pun dibuat untuk pembinaan jeti yang akan dilengkapi dengan ruang pendaratan ikan, pemasaran, pejabat dan restoran.

"Kita hanya menunggu masa untuk tender projek itu kerana reka bentuk telah siap," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan pada Program Juara Rakyat Bulan Petani, Penternak dan Nelayan di sini Khamis.

Penyampaian itu dilakukan oleh Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Zulfitri Yaccob di Kompleks Nelayan Langkawi di Penarak, Kuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengadakan lawatan ke sini awal tahun ini meluluskan RM7 juta untuk pembinaan jeti itu dan RM2 juta lagi projek penahan ombak.

Muhamad Noor berharap kerajaan negeri memberi kebenaran secepat mungkin untuk pembinaan jeti itu.

Mengenai elaun sara hidup nelayan, beliau berkata sebanyak RM180,000 dibayar kepada 900 nelayan pada hari ini. Sehingga kini, sebanyak RM13 juta dibayar kepada 6,000 nelayan seluruh Kedah.

-- BERNAMA

LANGKAWI - GEMBIRA.....Sebahagian daripada 900 nelayan dengan wajah gembira menunjukkan elaun sara hidup berjumlah RM200 selepas majlis penyampaian elaun itu sempena Juara Rakyat bulan Petani, Penternak dan Nelayan di Kompleks Nelayan Langkawi di Penarak Kuah.

Cerita Lama
A1, A2, A3, A4

From FB Sinar Harian :-

AL : elokla jadi juara rakyat.. pakat bagi .. sekurang2nya berlumba2 nak bagi amal @ duit pada rakyat & mereka yg susah.. Dulu susah bebenor..
apa2pun pastikan duit yg diberi sumber yg halal... bukan duit judi noo... ehehe

Kerajaan negeri luluskanlah cepat permohonan LKIM.. utk rakyat jugak.. Perkara yg telah dibawak oleh Ahli Parlimen Langkawi cuba utk ditunaikan oleh Kerajaan Pusat.. itulah antara usaha yg dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi utk Jeti Kuala Chenang.. Maka kerajaan negeri bagilah cepat kelulusan.. utk kesejahteraan rakyat jugak..


Tuesday, October 19, 2010

Remaja makin minat ke masjid

KUAH - Beberapa masjid di Pulau Langkawi kini telah berubah menjadi pusat kegiatan belia dan remaja dalam aktiviti membendung gejala sosial.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan daerah Langkawi, Rasydan Abdullah berkata, pendekatan program dilakukan bawah program Rakan Muda yang kini semakin mendapat sambutan.

Menurutnya, seramai 150 remaja menyertai program kepimpinan dan kesukarelaan di Masjid Nurul Hidayah, Kelibang.

“Mereka melakukan aktiviti pembersihan kubur, seluruh kawasan masjid dan menjamu selera dengan masak secara gotong-royong.

“Kehadiran mereka di masjid sebagai memupuk rasa kesedaran dan cintakan masjid selain mewujudkan sikap sukarelawan,” katanya.

AL :
Alhamdulillah.. moga2 aktiviti seperti ini dibantu oleh pihak2 yg berkenaan

Tuesday, September 28, 2010

Nelayan kecewa elaun lambat

GUAR CEMPEDAK – Sekumpulan nelayan yang menerima elaun RM200 baru-baru ini, kecewa kerana pembayaran dibuat lewat daripada tarikh sepatutnya.

Seorang penerima, Mohd Nasir Yusuf berkata, wang elaun itu sepatutnya diserahkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada awal September, namun tertangguh sehingga sebulan.

“Media elektronik melaporkan pemberian wang elaun sara hidup akan diagihkan pada 8 September untuk semenanjung Malaysia dan 6 September untuk penerima di Sabah dan Sarawak.

“Sepatutnya wang tersebut diberikan pada tarikh yang diumumkan kenapa ditangguhkan sehingga hampir sebulan,” katanya.

Menurutnya, pendapatan nelayan merosot selama empat bulan dan keperitan lebih terasa ketika sambutan Aidilfitri lalu.

“Kebanyakan nelayan memerlukan duit yang lebih untuk persediaan hari raya, tapi kelewatan menyebabkan ada antara nelayan yang tidak mampu membelikan baju raya untuk anak-anak mereka.

“Lebih menyedihkan, ada yang tidak mampu membayar fitrah kerana kesempitan wang,” katanya.

Pengarah LKIM Kedah, Mohd Noor Had berkata, tujuan mereka menangguhkan tarikh pembayaran adalah kerana ingin menyerahkan wang ketika diadakan aktiviti yang bermanfaat seperti ceramah dan motivasi.

“Kalau kita terus masukkan duit ke dalam akaun, mereka mungkin tidak tahu dari mana duit itu datang. Sebab itu kami serahkan duit bersekali dengan penganjuran untuk kebaikan mereka,” katanya.

Sinar Harian

AL :
Itulah.. lain kali kalau nak bagi elaun lambat bagitau la nelayan.. jgnla biarkan depa tertanya2.. dah keluaq paper baru nak kalut..

Tuesday, June 29, 2010

Skuad Sayang Langkawi buat kerja amal di Pulau Tuba

PULAU TUBA - Golongan veteran Wanita UMNO Langkawi, hakikatnya tidak pernah dilupakan atau terpinggir. Bekas bidan terkenal, Sepiah Ali, 88, berkata, sungguhpun uzur, dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan politik. Menurutnya, bidang kerjaya sebagai bidan suatu masa dahulu, membuatkan dirinya dekat dengan masyarakat. “Dahulu mana ada hospital, kalau ada pun jauh, jadi bagi yang hendak bersalin, saya terpaksa mengayuh basikal. “Kini dengan pembangunan yang ada, asas politik yang kukuh semua masyarakat telah dapat menikmati kemudahan infrastruktur,” katanya ketika ditemui di rumahnya. Hadir sama, Ketua Wanita Langkawi, Mariyam Othman dan ahli jawatankuasanya serta wakil Ahli Parlimen Langkawi. Mariyam berkata, tujuan Skuad Sayang meninjau golongan veteran di kepulauan sebagai tanda prihatin pemimpin setempat. Menurutnya, sumbangan seperti beras, gula dan keperluan asas turut disampaikan tidak hanya ketika musim perayaan. “Kerja amal ini dilakukan di rumah mangsa kebakaran di sekitar Kuah, anak yatim dan akan diteruskan ke kawasan Ayer Hangat, “ katanya. ~Sinar

AL :
Mana elok kita puji..

Wednesday, June 16, 2010

Bot ambulans‘direhatkan’ - M V Suhail

TANJUNG LEMBONG - Persoalan dan teka-teki status bot ambulans yang diperkatakan penduduk Langkawi terjawab. Perkhidmatan yang menjadi penantian penduduk Langkawi lebih 10 tahun itu ditunaikan pada 7 Mei, tahun lalu. Bagi mendapatkan gambaran sebenar dan menjawab segala permasalahan penduduk Langkawi, Sinar Harian melakukan tinjauan bot itu di jeti Jabatan Laut Langkawi di Tanjung Lembung. Bot ambulans, M V Suhail itu, masih berada dalam kondisi baik, terurus, dijaga rapi dan lengkap dengan krew bertugas.

Tinjauan juga mendapati, bot itu lengkap dengan bilik khas bagi menempatkan paramedik, ruangan dek terbuka bertujuan pemindahan beramai-ramai (mass evacuation) dan bilik pengasingan lengkap dengan alat bantuan perubatan. Menurut sumber, bagaimanapun perkhidmatan bot ambulans itu, hanya beroperasi selama 312 hari, kira-kira 11 bulan sebelum ‘direhatkan’ pada 15 Mac lalu. Selama ianya beroperasi, M V Suhail memberi perkhidmatan kepada kira-kira 100 pesakit dan mengendalikan seorang jenazah. M V suhail, yang berharga RM8 juta itu kini, hanya mengalami masalah kelajuan di mana kelajuan asalnya mencecah 28 knot berbanding 16 knot kini.

Masalah itu berlaku disebabkan timbul masalah kos penyelenggaraan yang dikatakan terlalu tinggi hingga timbul juga masalah pembayaran elaun lebih masa dan krew yang terpaksa ‘standby’. Menurut sumber, kos perjalanan dua hala dari Langkawi ke Kuala Kedah kira-kira RM2,000 dan perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis hanya RM1,500. “Jika penduduk Langkawi menggunakan perkhidmatan sewa bot perbelanjaannya mencecah kira-kira RM4,000 bagi perkhidmatan pada waktu malam. “Kami berharap Kementerian Kesihatan dan Jabatan Laut dapat berbincang dan menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya ketika ditemui.

Sumber itu berkata, jika tidak, bebannya ditanggung oleh keluarga pesakit dan Kementerian Kesihatan. Menurutnya lagi, kebajikan krew bertugas juga perlu diambil kira, mereka mempunyai jadual yang ditetapkan termasuk saat kecemasan. “Segalanya lengkap dan teratur, hanya kerana masalah kewangan, beban ini ditanggung seluruh penduduk Langkawi. “Bertahun-tahun penduduk Langkawi berusaha untuk mendapatkan perkhidmatan bot ini dan atas usaha Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, akhirnya impian penduduk terlaksana, namun hanya separuh jalan,” katanya. Pada majlis perasmian tahun lalu, M V Suhail dirasmikan dengan penuh gemilang oleh Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Jabatan Laut Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman.

M V Suhail buatan tempatan dari Terengganu itu dilancarkan di Telaga Houbour, Pantai Kok dan turut disaksikan kira-kira 100 tetamu dan pada sebelah petangnya orang ramai mengambil kesempatan melihat kapal itu dengan lebih dekat. Kini, harapan tinggal harapan, disebabkan tumpah nila setitik maka rosak susu sebelanga. - Sinar Harian

Anaklangkawi :
Isu ini merupakan antara isu yg hangat diLangkawi. Isu ini juga pernah dibangkit di Parlimen pada sesi soal jawab tahun lepas oleh Dato Abu Bakar Taib. Juga pernah dibangkitkan oleh sahabat kita orang Tanjung. Akhirnya apa yg ditakutkan berlaku. Projek kapal tersebut merupakan projek gajah putih yg merugikan duit rakyat.

Berdasarkan kepada jawapan yg diberikan di parlimen kapal tersebut dilancarkan pada 7Mei2009. Jadi pada 7Mei2010 genaplah setahun 'perkhitmatannya'. Maka kenyataan bot tersebut telah beroperasi 11 bulan @ 312 hari adalah mengarut. Dalam jawapan juga berkata bot tersebut telah mula beroperasi semua pada awal Dec 2009. Maka Mei-Dec adalah brp hari/ bulan?

Maka dapat disimpulkan bot tersebut beroperasi kurang dr yg dinyatakan oleh sumber Sinar.

Pada saya bot tersebut tidak patut direhatkan kerana ia merupakan keperluan penduduk langkawi yg memerlukannya diwaktu penting. Cuma disarankan jika bot tersebut dlm standby maka bolehlah digunakan utk 'cover' maintainance. Standby bermaksud boat tersebut digunakan disekitar langkawi supaya boleh pulang ASAP bila diperlukan.

Adalah amat sayang utk warga langkawi jika ia di'rehatkan' tanpa sebab yg kukuh.

Tuesday, June 1, 2010

Doktor turun padang beri rawatan percuma

KUAH - Bersesuaian dengan konsep rakyat didahulukan, sekumpulan doktor sanggup turun padang memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma kepada orang ramai. Dr G Bavanandan Nair, 46, berkata, dengan melakukan program ini, tanda awal penyakit lebih mudah dikenal pasti. Menurutnya, kebanyakan orang jarang ke klinik atau hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. “Mereka biasanya pergi selepas melarat dan kritikal, jika perkara ini berlaku, ada ketikanya penyakit itu sudah terlamat untuk diubati.

“Atas kesedaran itu, kami bergabung menyertai kelab sukarelawan untuk melakukan program ini bagi membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui di pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Kuah. Sementara itu, bagi Nur Akmalina Mohd Isa, 24, program sukarelawan ini sinonim dengan dirinya. Nur Akmalina berkata, sebelum bergelar doktor dia ditanamkan sikap suka membantu dan prihatin terhadap kepayahan. Menurutnya, program ini adalah kali kedua disertai selepas Kuala Nerang pada April lalu. “Kami perlu ubah cara komunikasi dan terminologi perubatan bagi memudahkan orang kampung memahaminya. “Pendekatan secara langsung dan menerangkan kepada mereka mengenai sebarang penyakit serta memberi tips kesihatan adalah yang paling penting dalam berhadapan dengan masyarakat di luar bandar,” katanya.

Sinar Harian

Anaklangkawi :-
Elokla.. Sekurang2nya ada jugak doktor yg baik hati turun ke padang..

Thursday, May 6, 2010

Penceroboh perairan negara tumpas

KUAH - Empat bot nelayan asing dengan 21 anak kapal dirampas ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara, di Pulau Perak kira-kira 86 batu nautika dari Langkawi. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot itu selepas didapati tidak mempunyai permit penangkapan ikan yang sah. Selain itu, awak-awaknya berusia antara 21 hingga 55 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Operasi berjaya mengesan tiga bot pertama dengan 16 awak-awak termasuk tekong pada jam 10.30 pagi sedang melakukan aktiviti penangkapan dengan memasuki perairan negara melebihi 12 batu nautika dari garis sempadan ketika rondaan penguatkuasaan operasi Satria utara di perairan Selat Melaka utara. Manakala bot kedua dikesan kira-kira 22 batu nautika dari bot pertama dengan kapal pengesan, KM Siamil yang diketuai oleh Leftenan Maritim Hilmi Abdullah bersama 25 anggota.

“Tiga bot pertama dikesan ketika mereka menjalankan aktiviti merawai dalam perairan negara berasaskan bacaan koordinat yang disahkan. “Dalam perjalanan ke pangkalan, kami mengesan sebuah lagi bot asing dinaiki seorang tekong dan lima awak-awak dari negara sama kira-kira jam 1.03 petang sedang berlabuh sambil melakukan aktiviti menangkap ikan,” katanya.

Menurutnya, nelayan dari Belawan, Indonesia terbabit mendapat pelbagai jenis ikan sebanyak satu tong seberat 50 kilogram setelah berada di perairan selama empat hari. Zulkifli berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi mendakwa nelayan terbabit kerana kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan Malaysia kerana menangkap ikan di perairan tanpa permit sah.

Menurutnya, alasan sesat menjadi topik utama selepas ditahan pihak berkuasa dan mengakui ini kali pertama dia memasuki perairan negara.

Sinar Harian

Anaklangkawi :-
Biasala alasan sesat.. kadang2 tu tak paham awat la sampai sini curi ikan..
kat negara depa takdak ikan ka!

Monday, April 12, 2010

Langkah penjimatan jejas industri hotel Langkawi

Pengusaha hotel dan chalet di Pulau Langkawi merayu pihak kerajaan mengkaji semula had penggunaan hotel dan chalet untuk seminar, kursus dan mesyuarat di Pulau Langkawi. Perkara itu disuarakan pengusaha dan pemilik hotel, peniaga bebas cukai dan pemilik syarikat pengangkutan awam selepas mengumpul 46 tandatangan berhubung masalah itu. Sekiranya perkara itu berlanjutan, sektor perhotelan di pulau bebas cukai ini bakal berdepan dengan risiko kemerosotan perniagaan atau mungkin ditutup. Selain itu, lebih 10,000 pekerja hotel juga akan diberhentikan sekali gus merencatkan sumber ekonomi pulau ini. Jawatankuasa bertindak ditubuhkan bagi membuat rayuan terhadapan pekeliling yang dikeluarkan kerajaan.

Pengerusinya yang juga Pengurus Besar Hotel Langkawi Seaview, Ooi Cheng Ping berkata, sejak surat pekeliling itu dikeluarkan kebanyakan hotel bertaraf tiga bintang ke bawah mengalami kemerosotan pendapatan sehingga 50 peratus berbanding tahun sebelumnya. Cheng Ping berkata, hotel empat bintang ke bawah ini, menawarkan harga patut dan bersesuaian dengan kadar peruntukan kerajaan malah. Menurutnya, kebiasaannya setiap kali seminar atau mesyuarat dilakukan di hotel, mereka bebas menggunakan peralatan tanpa kekangan masa termasuk penyediaan makan dan minuman.

Menurutnya, semua pihak hotel yang merayu bersedia berunding dengan pihak kerajaan bagi menawarkan pakej atau bersama mengkaji semula surat pekeliling yang dikeluarkan. “Dalam surat pekeliling itu zon pakej diperkenalkan dengan pasaran perhotelan di Langkawi yang berada di Kedah hanya terbuka kepada jabatan kerajaan dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak sahaja,” katanya ketika sidang media di hotel Langkawi Seaview di Kuah. Pengusaha kedai bebas cukai dan pengangkutan awam turut terjejas Kemelut itu turut dirasai pengusaha kedai bebas cukai terkemuka di Langkawi dan pengusaha kereta sewa dan teksi.

Pengarah Urusan kedai bebas cukai M Chuharmall Sdn Bnd, M Suresh Kumar Ratnani berkata, kuasa membeli (purchasing power) menurun sejak awal tahun ini. M Suresh berkata, hampir 30 peratus penjualannya menurun dalam tiga bulan pertama berbanding tahun lalu. “Tahun lalu, apabila kakitangan kerajaan menghadiri kursus atau mesyuarat dari Isnin hingga Khamis terdapat ramai pembeli, namun pada tahun ini perkara sebaliknya berlaku.

“Kemelut ini menyebabkan kami tidak berupaya mengambil pekerja baru, namun tidak akan membuang pekerja,” katanya. Masalah yang sama turut menjejaskan industri kereta sewa dan teksi di pulau peranginan ini. Yang Dipertua Persatuan Tuan Empunya Pemandu Kereta Sewa Langkawi (PTEPKSL), Alwi Baharudin turut merasai tempias masalah itu. Alwi berkata, kira-kira 30 peratus pendapatan pemandu teksi terjejas berikutan kekurangan pelanggan. Menurutnya, kerajaan disaran melonggarkan syarat pekeliling itu bagi menghidupkan semula industri pelancongan di Langkawi.

“Pihak kerajaan boleh berbincang semula dengan penggiat pelancongan bagi mendapatkan harga yang berpatutan sejajar dengan langkah penjimatan,” katanya. Keluhan pekerja hotel Sinar harian turut mendapatkan keluhan dan kegusaran pekerja hotel yang bakal berhadapan dengan risiko dibuang kerja sekiranya masalah ini berlanjutan. Pengurus Pemasaran, hotel Seaview Langkawi, M Nelson berkata, masalah ini berkemampuan menyebabkan ramai pekerja hotel diberhentikan. Menurutnya, sekiranya pihak hotel terpaksa membuat langkah penjimatan yang maksimum ada kemungkinan pekerja akan diberhentikan. “Kami tidak mahu perkara ini berlaku kerana sektor perhotelan adalah sumber pekerjaan utama di pulau ini,” katanya.

Bagi pembantu Sous Chef di hotel yang sama juga, Mohd Zamzuri Ismail menyifatkan masalah ini turut menjejaskan masa depan pekerja hotel terutamanya pekerja yang mempunyai keluarga besar. Menurutnya, hampir 80 peratus kakitangan hotel di Langkawi adalah anak tempatan pulau ini, jika perkara ini tidak segera diselesaikan makan kadar pengangguran akan meningkat. Hotel lain ambil langkah bijak Namun berbanding pula pendekatan yang dilakukan kumpulan Hotel de Baron yang turut merasai tempias masalah ini.

Kumpulan Hotel D’Baron mempunyai rangkaian hotel terbesar dengan menjalankan perniagaan di bawah premis de’Baron Resort, Hotel Baron,Malibest Resort, Langura Baron Resort dan Hotel Best Star. Pengurus Besar de Baron Resort, Nizam Ahmad berkata, kehadiran kakitangan jabatan kerajaan dan pelancong seimbang buat masa ini. Menurutnya, kesemua resort dan hotelnya mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan harga yang ditawarkan.

Nizam berkata, langkah awal yang dilakukan sejak pekeliling itu dikeluarkan pihak pengurusan mula mengambil langkah dengan melakukan promosi bersama melalui Tourisme Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi dan agensi pelancongan. “Selepas kami menyedari risiko yang bakal dihadapi, kami segera lakukan promosi dengan menyertai MATTA Fair dan menyertai semua jenis bentuk promosi pelancongan yang diadakan di seluruh negara.

“Promosi juga dilakukan melalui majalah pelancongan atas talian,” katanya. Menurutnya, dengan senario yang berlaku kini, semua hotel disaran bergabung dengan penggiat industri pelancongan malah tidak mempunyai sikap tamak. “Kami harap saranan ini tidak sehingga menurunkan harga hotel ke tahap minima dan memulakan perang harga yang tidak munasabah sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan hotel,” katanya. ~ Sinar Harian

Anaklangkawi :-
Sikap org2 Langkawi yg terlalu mengharapkan kerajaan utk seminar & kursus dilangkawi perlu dihakis oleh semua org Langkawi. Promosi pelancongan juga perlu berterusan supaya tidak keputusan pengunjung..

Satu lagi.. Anak2 langkawi di perantauan perlu memainkan peranan sebagai duta kecil utk Pulau Langkawi. Promosilah pulau kita.. Kalau bukan kita yg promote sapa lagi?

Monday, April 5, 2010

60 doktor masuk desa dekati rakyat

KUAH - Doktor kini didedahkan dengan suasana desa sejajar penubuhan klinik 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Mengambil inisiatif itu, kira-kira 60 bakal doktor ditempatkan di setiap daerah termasuk Langkawi. Bakal doktor graduan dari universiti tempatan dan India itu turut menjalankan pemeriksaan percuma dan terlibat dalam program anak angkat di kampung terpilih. Penyelia program, Profesor Dr Abdul Latif Mohamed berkata, setiap tahun kira-kira 4,000 graduan kedoktoran dilahirkan. Abdul Latif berkata, namun kebanyakan mereka lebih suka ditempatkan di bandar berbanding desa kerana mendapat keuntungan yang besar. Menurutnya, program doktor desa itu berupaya mengubah persepsi graduan kedoktoran terhadap faktor meraih keuntungan. “Seramai 60 doktor menyertai program itu di beberapa daerah dan mereka kini lebih sedar akan kepentingan kehadiran mereka di kampung.

“Kami turut menjalankan program anak angkat di mana doktor berkenaan akan tinggal bersama keluarga dan mengetahui cara hidup masyarakat kampung,” katanya. Beliau berkata, secara tidak langsung kerjaya doktor mampu mempengaruhi kanak-kanak untuk mengikut jejak langkah menjadi doktor. Sementara itu, pada program yang dijalankan di Sungai Menghulu, kira-kira 10 bakal doktor dalam pelbagai kepakaran menjalankan pemeriksaan percuma. Bagi, Fatimah Abdullah, 54, kehadiran bakal doktor itu memudahkannya untuk menjalani rawatan kesihatan. “Sekiranya di hospital atau klinik kami terpaksa beratur dan menaiki teksi, tetapi kedatangan rombongan itu memudahkan mereka. “Program itu harus dilakukan setiap bulan dan kanak-kanak juga tidak berasa takut menjalani pemeriksaan kesihatan kerana ditemani keluarga dan rakan-rakan,” katanya. -Sinar Harian

Anaklangkawi :-
Elokla.. jgn depa mai melancong dah la..

Sunday, March 21, 2010

Dapat lesen baru, nelayan perlu bersabar


KUAH - Seramai 41 nelayan masih tidak menerima lesen nelayan baru. Ia berikutan proses dan tempoh mendapatkan lesen agak lama. Pengerusi Penyelaras Pangkalan Nelayan Sungai Kuah, Abu Said berkata, pemohon terpaksa menanti tiga ke empat tahun untuk mendapatkan lesen berkenaan. Menurutnya, kesemua pemohon adalah nelayan sepenuh masa dan memenuhi syarat permohonan. “Antara syarat terkandung adalah nelayan perlu ke laut sebanyak 120 hari setahun. “Kemudahan lesen ini penting bagi mengelakkan nelayan ditahan ketika operasi, mendapat insentif kerajaan dan keselamatan mereka terjamin,” katanya ketika ditemui di pangkalan Sungai Kuah.

Katanya, mereka yang memohon telah menjalankan kegiatan di laut hampir puluhan tahun. Dia berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan permohonan lesen tanpa sebarang masalah birokrasi bagi nelayan di pangkalan Sungai Kuah. Sementara itu, seorang nelayan yang masih belum mendapat lesen, Yahya Bahari, 60, menyifatkan apa yang berlaku seolah-olah di anak tirikan oleh pihak berkaitan. “Saya dan rakan-rakan mendaftar sebagai ahli persatuan tetapi permohonan masih belum diketahui statusnya. “Kami mengikut landasan undang-undang yang telah dikeluarkan namun apa yang berlaku sebaliknya,” katanya. -Sinar Harian

Anaklangkawi :- Apa jadahnya sampai kena tunggu 3-4 tahun utk dapatkan lesen Nelayan..
Apa ni.. susah sgtka nak dapat lesen.. Syarat apa lagi nak kena ada.. Kalau dah depa ni nelayan sepenuh masa bagi jelah.. BUkan boleh salah guna pun lesen tu..

Nilah masalah kadang2 pegawai kerajaan.. cukup lembap buat kerja.. Jadi sapa2 yg berkenaan pi la tolong proses benda ni cepat2..

Friday, March 19, 2010

19 pendatang kena cekup tiga motosikal dirampas

BUKIT MALUT - Seorang wanita sarat mengandung antara 19 pendatang tanpa izin (Pati) dari Myanmar dan Thailand yang dicekup ketika Operasi Bersepadu Khas yang dilakukan di sekitar Bukit Malut. Dalam operasi itu, sebanyak tiga motosikal dan kerangka motor dipercayai dicuri, ditahan kerana pengubahsuaian enjin dan casis dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tiga kes dadah diberkas. Pemeriksaan dilakukan oleh tiga agensi terlibat iaitu Polis daerah Langkawi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPM) dan Imigresen daerah Langkawi. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik daerah Langkawi, Asisten Superintendan Noh Idris berkata, operasi bermula dari jam 6.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Menurutnya, operasi itu bertujuan mengenal pasti Pati, kesalahan jenayah dan trafik.

“Kami menggerakkan 10 pegawai dan 50 anggota dari semua cawangan untuk melakukan pemeriksaan ke atas 300 rumah.

katanya ketika ditemui di Bukit Malut. Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim; Ketua Penguatkuasaan Imigresen bahagian Langkawi, Mohd Nasir Ahmad dan Penyelia JPM daerah Langkawi, Shakharutus Khaizar Mohd Akhir. Noh berkata, Pati yang ditahan adalah 18 orang dari Myanmar dan seorang warga Thailand. Menurutnya, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan dipercayai mengikut keluarga untuk menetap di negara ini.

“Kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, pada tahun lepas, operasi yang sama pernah dilakukan sebanyak dua kali dan bagi tahun ini, operasi ini adalah yang pertama di Bukit Malut. - Sinar Harian