Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Showing posts with label Perbahasan Budget 2011 Ahli Parlimen Langkawi. Show all posts
Showing posts with label Perbahasan Budget 2011 Ahli Parlimen Langkawi. Show all posts

Monday, November 22, 2010

Bahagian Akhir : Perbahasan Budget 2011 Ahli Parlimen Langkawi

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Saya amat setuju sekali dengan pandangan tersebut kerana pada saya Sime Darby adalah satu giant. Kadangkala hendak fikir hendak jual jagung misalnya di Kedah. Ia terlibat dengan projek-projek yang dilakukan oleh MADA. Apa yang perlu ialah mungkin cari kewangan dan beri kepada MADA untuk membuatnya. Seperkara lagi ialah di Langkawi, saya difahamkan apa yang telah dijalankan iaitu projek membela ikan yang menelan belanja berjuta-juta ringgit. Jadi saya difahamkan ia akan melibatkan NCER padahal projek tersebut dilakukan oleh Jabatan Perikanan, LKIM. Halim Mazmin Group apa lagi, semuanya fail, semuanya gagal. Ini pula NCER hendak masuk lagi. Saya percaya ini akan membazirkan duit kerajaan. Saya haraplah fikir dahulu sebelum melangkah yang lainnya.

Tuan Yang di-Pertua, saya haraplah..

Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib [Maran]: [Bangun]

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Ya.

Dato’ Ismail bin Abd. Muttalib [Maran]: Terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tertarik dengan apa yang dibawa oleh Yang Berhormat Langkawi. Di sini saya hendak bawa kepada Dewan ini ataupun kerajaan di segi melihat kepada keseluruhan projek koridor ini sama ada Pantai Timur, Pantai Barat, Utara juga di Selatan kita. Ini kerana seperti yang disebutkan juga oleh Yang Berhormat Arau tadi kadang-kadang projek-projek ini sudah lama. Saya kira pembangunan ekonomi projek koridor ini tujuan dilaksanakan atau diwujudkan oleh kerajaan adalah bagi memastikan supaya projek-projek di kawasan-kawasan yang berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jadi apabila ditimbulkan oleh Yang Berhormat Langkawi tadi saya nampak seolah-olah ada perkara yang tidak kena. Saya minta pandangan Yang Berhormat Langkawi, apakah cadangan Yang Berhormat Langkawi supaya kerajaan dan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hendak melihat projek ini iaitu pembangunan koridor sama ada di Pantai Timur, Utara dan sebagainya dapat dijalankan dengan baik. Jentera atau jawatankuasa yang ditugaskan dapat menjalankan kerjanya. Kita hendak kalau boleh kita minta supaya dibentangkan laporan secara terperinci keberkesanan pelaksanaan projek-projek di kawasan ini. Minta pandangan Yang Berhormat. Terima kasih.

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Ya, memang saya setuju dan saya harap pihak NCER perlu mengambil perhatian yang serius terhadap teguranteguran yang dinyatakan tersebut kerana ia perlu melibatkan perkara yang supplement atau complement dengan apa yang ada sekarang ini. Ya, Yang Berhormat Sri Gading.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Rancangan koridor ini diilhamkan oleh bekas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang lalu. Baru beberapa tahun dan sebenarnya sewaktu perancangan ini diumumkan banyak suara yang ragu sama ada berjaya atau tidak dan banyak suara yang mengatakan bahawa koridorkoridor ini tugas bertindih dengan agensi-agensi yang sedia ada. Bertindih-tindih. Apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Langkawi sebenarnya dirasai oleh banyak pihak. Nampak kegagalan-kegagalan. Apa yang menjadi masalahnya Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Langkawi, kegagalan ini menyebabkan pembaziran wang. Jadi kalau satu-satu rancangan hanya akan menemui kegagalan, yang akan membazirkan wang rakyat, wang kerajaan maknanya tujuan dan matlamatnya tidak tercapai.

Saya harap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang ada hari ini yang visi dan misinya agaknya memang begitu jelas inginkan pembangunan, kemajuan negara ini agaknya boleh melihat semula perkara-perkara seperti ini supaya jangan berlarutanlah. Rancangan yang sudah diumumkan dan yang telah pun dilancarkan tiba-tiba mendapat kegagalan. Jadi diharap kerajaan di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang baru ini melihat, mengkaji, menyemak dan ambil tindakan-tindakan kalau terdapat perkara-perkara yang mungkin boleh menggagalkan. Apa pendapat Yang Berhormat Langkawi?

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat Langkawi, sedikit benda yang sama. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pun hendak mencelah mengenai koridor ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Ada tiga minit lagi Yang Berhormat. Ringkaskan soalan.

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Saya lihat ia sebenarnya juga disebabkan oleh kebanyakan perancangan NCER buat ini tidak berbincang dengan sama ada di peringkat daerah atau negeri secara detail. Kadang-kadang menyebabkan perancangan yang dia buat lain, yang kita buat lain. Kita hendak tuju ke lain, dia ke lain dan akhirnya bertembung di tengah jalan. Oleh sebab itu apakah Yang Berhormat Langkawi bersetuju kalau kita cadangkan setiap apa yang hendak dibuat mesti dibawa perbincangan terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat?

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Memang betul kerana di Langkawi misalnya, hendak buat penangkapan ikan, LKIM buat sangkar ikan, Perikanan buat sangkar ikan, Halim Mazmin buat sangkar ikan, semua fail. Why should you go and have another one? Jadi itulah bagi saya membazir dan orang kata, orang kampung perli, menjadi perbualan orang dan memomok-momokkan. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya haraplah perkara ini dapat dikaji semula janganlah kita sebagai wakil rakyat jadi bahan tohmahan, bahawasanya kerajaan membazir walhal kerajaan tidak membazir. Yang membazir ialah agensi berkenaan yang membuat silap dan semestinya kita juga menjadi sasarannya.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.

Sambungan 2 : Perbahasan Budget 2011 Ahli Parlimen Langkawi

[Berkenaan sukan].
Kementerian Belia dan Sukan telah memainkan peranan yang baik di Langkawi. Akan tetapi selain daripada bola sepak, hoki dan lain-lain lagi saya harap pihak kementerian juga harus memberi perhatian kepada perahu layar. Ini kerana Langkawi telah mempunyai satu kompleks sukan perahu layar yang bertaraf antarabangsa. Sukan perahu layar ini kita ada remaja ataupun budak-budak sekolah lapan tahun sehingga 18 tahun melibatkan dalam acara Optimist iaitu pelayar kecillah.

Jadi tahun ini kita akan mengadakan World Championship 2010 yang melibatkan 60 negara iaitu IODA (International Optimist Dinghy Association World Championship) akan diadakan di Langkawi. Malaysia sebagai host dan diadakan di Langkawi. Ia melibatkan lebih kurang 60 negara dan akan mula perlawanan, kejohanan mulai 27 Disember 2010 sehingga 7 Januari 2011. Saya menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat datanglah ke Langkawi untuk melihatnya.

Satu lagi ialah projek NCER...

Seorang Ahli: Penginapan disediakan.

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Minta maaf, penginapan tidak disediakan. Mungkinlah kita berbincang kemudian. Projek NCER (Northern Corridor Economic Region) yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Apakah jadi dengan NCER?

Ini kerana saya difahamkan ia telah bertujuan untuk mengadakan hospital di Langkawi yang menyebabkan pelancong datang. Jadi apakah sudah jadi kepada program tersebut? Saya difahamkan juga terdapat projek NCER yang begitu kecil. Saya percaya kalaulah NCER ini melibatkan down sea aktiviti ataupun mengadakan aksi aktiviti misalnya bekerjasama dengan LADA atau FAMA. Melibatkan ...

Datuk Ismail Kasim [Arau]: Minta laluan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Langkawi.

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Sebentar, sebentar sedikit lagi.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Bagi sekejap nanti Yang Berhormat.

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Sime Darby telah mengadakan projek tanam jagung di Sintok hendak jual kepada Giant ataupun Tesco tetapi gagal. Saya ingat NCER tidak perlu buat demikian. Ia perlu memikirkan cara-cara hendak menanam jagung, melibatkan peladang dan ambil itu untuk jadikan bahan makanan. Mengadakan factory ataupun kilang untuk membuat jagung ataupun membuat makanan binatang. Sila Yang Berhormat Arau.

Datuk Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Saya ingin bertanya dan berkongsi pengalaman dan pendapat dengan Yang Berhormat Langkawi iaitu berhubung dengan peranan NCER. Ini kerana saya lihat seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Langkawi tadi tentang kegagalan beberapa projek NCER.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat] Kita harus balik kepada tujuan penubuhan NCER yang saya lihat ada sedikit
elemen ketergesaan di sini, di mana blue print yang dibuat ketika itu dibuat dengan tidak begitu terperinci yang menyebabkan projek-projek di bawah NCER yang berlaku sekarang ini bertindih dengan agensi kerajaan yang lain seperti mana yang berlaku di Langkawi dan di mana-mana negeri di utara termasuk di Pulau Pinang, Perak Utara, Perak, Kedah dan Perlis sekalipun. Jadi agenda asal tidak diberi fokus yang menyebabkan berlaku banyak kegagalan dan agenda-agenda yang kecil ini banyak boleh melibatkan kacau ganggu kepada projek-projek yang telah dirancang seperti MADA, LADA dan sebagainya.

Jadi di sini saya pohon pandangan Yang Berhormat Langkawi supaya NCER ini balik kepada blue print yang asal di mana Sime Darby menjadi teraju utama dalam memainkan peranan untuk pembangunan wilayah seperti mana yang disasarkan dan dirancang oleh kerajaan. Pandangan Yang Berhormat Langkawi.

Sambungan 1 : Perbahasan Budget 2011 oleh Ahli Parlimen Langkawi

Dato’ Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]:

Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading. Memang itulah yang saya harapkan kerana telah banyak pembangunan yang diadakan di Langkawi dengan perhatian khusus Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir malahan hari Ahad yang lepas dia telah pergi ke Langkawi. Walaupun dia tidak menjadi Perdana Menteri lagi tetapi dia menaruh minat yang mendalam terhadap pembangunan Langkawi.

[Masalah Jeti Cetek di Kuala Perlis]
Berkenaan pegawai polis dan laut cetek. Setiap kali pembahasan bajet saya setiap kali membangkitkan perkara ini iaitu masalah kecetekan di jeti di Kuala Perlis pintu masuk ke Langkawi. Akan tetapi amatlah malangnya kurang perhatian diberikan terhadap apa yang diutarakan oleh saya. Tindakan Kementerian Pengangkutan sama ada Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha turun meninjau apa yang berlaku di jeti tersebut.

Lawatan tersebut hendaklah dilakukan pada ketika air surut janganlah air pasang kerana saya mencadangkan agar tebus guna tanah ke Perlis dengan menggunakan sumber kewangan dan kedudukan setahun diadakan pada tanah baru di atas tanah yang ditebus guna itu kepada siapa yang biasa menggunakan jeti di Kuala Perlis tentu mengetahui dan memahami keadaan apabila air surut ke dasar laut sehingga dua kilometer jauh ke laut. Ini kerana laut akan sungguh cetek walaupun dikorek telah beberapa bulan kerja-kerja mengorek berlaku ia terus cetek semula. Saya harap supaya mintalah kepada Kementerian Pengangkutan melihat keadaan jeti di Kuala
Perlis dapat dibaikkan dengan sebaik mungkin dengan mengambil tanah di laut.

[Cadangan Muzium Getah @ Kelapa Sawit]
Saya juga seperkara lagi pihak RISDA atau FELCRA mengambil daya inisiatif untuk mengadakan muzium getah ataupun muzium kelapa sawit. Ini kerana pelancong datang daripada London atau Australia ataupun Paris ataupun dari Amerika Syarikat ataupun China dan India, ataupun dari Jepun dan Timur Tengah, mereka datang ke Langkawi, London ke Kuala Lumpur dan Langkawi seminggu atau dua minggu. Mungkin kita boleh memaparkan apa-apa produk yang ada di Malaysia di Langkawi kerana mereka telah pergi Kuala Lumpur dan ke lain-lain tempat. Dengan adanya muzium getah daripada mula diadakan ditanam sehingga ia dipasar, proses itulah kalau boleh di Langkawi begitu juga oil palm - kelapa sawit, supaya mereka bukan sahaja dapat mengetahui bagaimana kita hidup di Malaysia ini.

[Masalah Harga di Pulau Tuba & Pulau Dayang Bunting]
Seperkara lagi ialah Pulau Toba dan Pulau Dayang Bunting. Terdapat harga yang tinggi disebabkan oleh pengangkutan yang dilakukan antara Langkawi, Pulau Toba dan Pulau Dayang Bunting. Jadi Pulau Toba dan Pulau Dayang Bunting lebih kurang 5,000 orang penduduk yang mempunyai sekolah-sekolah menengah, sekolah rendah, masjid dan mempunyai beberapa jeti dan kemudahan lain. Apa yang menjadi masalah ialah pengangkutan di mana pengangkutan yang dilakukan antara Pulau Langkawi, Pulau Toba dan Pulau Dayang Bunting menyebabkan pengangkutan laut yang memakan belanja yang banyak. Masalah ini berlarutan. Walaupun sekarang telah ada tindakan daripada kementerian berkenaan tetapi masih lagi berlarutan. Jadi Tuan Yang di-Pertua, simen harga di Langkawi RM14.00. Datang ke Pulau Toba jadikan RM24.00 itulah yang disuarakan kepada saya di sini. Jadi saya harap pihak kementerian dapat mengambil tindakan.

AL :-
Hasil suara yg dibawak oleh YB kita Dato Bakaq memungkinkan penduduk Pulau Tuba menikmati subsidi @ harga kawalan tetap barang2.. Alhamdulillah.. Inilah ciri2 YB yg kita nak..
Penduduk Pulau Tuba Nikmati harga tetap.. <--lihat sini.

Perbahasan Awal Part 1

Perbahasan Budget 2011 oleh Dato Abu Bakar Taib Ahli Parlimen Langkawi

Sumber www.parlimen.gov.my

Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk saya turut serta mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2011. Saya juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara kita aman, damai dan makmur dan saya anggap inilah pemberian Tuhan kepada kita di Malaysia.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah menggariskan empat strategi dalam Belanjawan 2011 iaitu:-
(i) mendaya kembali pelaburan swasta;
(ii) membangunkan modal insan;
(iii) mensejahterakan hidup rakyat; dan
(iv) memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah banyak melabur di Langkawi. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada negara dan bangsa kita di Malaysia. Kami di Langkawi amat bangga dan mengucapkan terima kasih kerana beliaulah yang telah membangunkan Langkawi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang iaitu Yang Berhormat dari Pekan, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang telah memberi perhatian khusus kepada Pulau Langkawi.

Saya harap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan terus tidak meminggirkan Langkawi di dalam arus pembangunan yang ada sekarang ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang menjadi penggerak kepada pembangunan Langkawi. Tanpa LADA yang bekerja keras dari dahulu sampai sekarang, tidak mungkin Langkawi menjadi satu tempat yang ada sekarang. Saya harap peruntukan kepada LADA diberikan secukupnya untuk meluluskan tujuan dan tanggungjawab membangunkan Langkawi.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan pihak swasta yang telah melabur di Langkawi dengan begitu banyak. Langkawi berjaya mempunyai lapangan terbang antara yang kelima terbesar di Malaysia selepas KLIA, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Kuching dan KK. Langkawi juga mempunyai Markas Wilayah Laut 3 TLDM, markas wilayah utara Agensi Penguatkuasaan Maritim iaitu APMM, Pusat Latihan Polis, cable car, Akademi Koreksional, pusat cerapan, bekalan air dan kabel elektrik di tanah daratan, MRSM, kolej komuniti, jeti nelayan dan juga peladang dan juga hotel-hotel yang bertaraf lima bintang terdapat di Langkawi.

Walaupun demikian, saya mengharapkan pihak kerajaan harus memantau segala pelaburan yang telah dilakukan supaya ianya menepati tujuan ianya dibuat. Saya berharap Kementerian Kewangan memantau perkembangan projek Ayer Hangat, projek di Kuala Melaka dan Taman Legenda yang memerlukan perhatian yang lebih. Masalah pembuangan bayi dan lain-lain masalah sosial pada kadar purata yang amat memalukan dan amat mengecewakan. Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Ketua Menteri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka yang telah memberi peluang kepada mereka yang telah terjebak atau telah terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah untuk ditempatkan di Sekolah Harapan.

Satu lagi projek Baby Hatch di mana kumpulan yang memberi peluang kepada mereka yang sedemikian. Tahniah di atas pandangan jauh mereka. Saya percaya salah satu sebabnya adalah kadar mas kahwin, belanja hantaran yang tinggi dan juga kenduri kendara yang tinggi. Bayangkan seorang pemuda yang baru bekerja ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai wang. Saya mohon agar kita semua merenung, mungkin kah disebabkan ini maka remaja mengambil jalan mudah dengan bersekedudukan atau living together. Mungkin pihak JAKIM dan majlis agama Islam negeri-negeri berfikir bagaimana kita hendak mengatasi. Mungkin inilah salah satu cara yang telah menyebabkan mereka itu berkelakuan sedemikian.

Pelancongan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAS, AirAsia dan Firefly yang telah membawa banyak pelancong dan penumpang ke Langkawi. Saya perhatikan kebanyakan pelancong datang ke Langkawi boleh dikatakan menggunakan AirAsia, MAS dan juga Singapore Airlines (SIA). Saya perhatikan mungkin disebabkan moto ‘Now everyone can fly’ oleh AirAsia telah mendatangkan begitu banyak kali pelancong yang datang ke Langkawi datang dengan kapal terbang. Saya harap memandangkan MAS telah memberhentikan penerbangan London-Langkawi-KL, mungkin pihak Kementerian Pelancongan dapat menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia-London-Langkawi-Sydney ataupun Paris-Langkawi-Sydney atau pun London-langkawi-Perth dan sebagainya. Mungkin ia sebagai satu cara untuk menggamit pelancong datang ke Langkawi. Ini kerana kadang kala tidak ada connectivity antara satu sama lain di antara penerbangan ke Langkawi.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan perhatian dan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Sabah dan Sarawak. Seperti yang sedia maklum, kemudahan infrastruktur yang terdapat di Sabah dan Sarawak jauh bezanya dengan kita di Semenanjung. Saya amat menyanjung tinggi di atas keprihatinan Yang Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional yang memberi perhatian serius terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak. Terutamanya keperluan asas seperti jalan raya, sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik. Berikutan dengan kecetekan...



Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Bangun]

Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Ya, Yang Berhormat Sri Gading.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat tidak pergi Batu Sapi?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Saya hendak pergi Tuan Yang di-Pertua, untuk berkempen bagi menentukan Barisan Nasional akan memenangi lagi kawasan itu dan potensi untuk menang itu begitu besar dan insya-Allah akan menang besarlah kita di Batu Sapi. Ini kerana, orang Batu Sapi pun dapat memikirkan apakah untung memilih kerajaan dan bagaimana ruginya mengundi pembangkang.

Berbalik kepada Langkawi. Langkawi ini adalah pulau Yang Berhormat Langkawi, pulau legenda yang telah pun dapat menarik begitu ramai satu ketika dahulu pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara. Langkawi satu ketika dahulu pembangunannya begitu pesat di waktu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri memang di promote secara hebat Langkawi. Langkawi tumbuh dengan hotel-hotel bertaraf semua bintang ada. Bintang tiga ada, bintang empat ada dan bintang lima ada.

Dengan majunya Langkawi sebagai pusat persidangan antarabangsa, LIMA, pelancongan ribuan peluang-peluang pekerjaan. Saya harap Kementerian Pelancongan jangan terhenti, jangan berhenti daripada terus berikhtiar supaya pelancong-pelancong dari luar negara, pelancong-pelancong dalaman mengunjungi Langkawi. Supaya Pulau Langkawi jangan nanti kalau tidak kita usahakan takut-takut akan menjadi pulau yang lengang. Jadi apa dalam fikiran Yang Berhormat Langkawi boleh dicurahkan di Parlimen ini untuk berikan perhatian oleh pihak-pihak yang tertentu.

Macam mana usaha yang gigih, usaha yang bersemangat, usaha yang terus dapat diberikan kepada Langkawi untuk mengekalkan Langkawi menjadi pusat antara pusat-pusat, bukan pusat Menteri Pelancongan. Pusat-pusat pelancongan. Dalam negara ini banyak pusat-pusat pelancongan jadi biarlah jadi pusat pelancongan sama dengan tempat-tempat yang lain dalam negara kita. Saya minta Yang Berhormat Langkawi.

Sambungan 1