Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Showing posts with label Padang Matsirat. Show all posts
Showing posts with label Padang Matsirat. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Beras Terbakar at Padang Matsirat

Recently,I had a trip to Langkawi.Nice place,hot weather and friendly people makes me remember my old memories during I was small.I went to many places in Langkawi and this is one of the place that I visit.Bazaar at Padang Matsirat or as known as Beras Terbakar.History told that the people here burn their rice that they kept to avoid Siamese army take away their food.There are many history and myth here,anyway it’s nice place to take a shot…

AL :-
Beras Terbakar is among a favourite spot for shoppers. Is a must visit place & you need to bargain to get a good price. Normally bargain 2/3 of the price. Interesting photoblogz by Jebeng Otai in PhotoBlogz.org.

Monday, October 11, 2010

Majlis Utk Bakal Haji & Penyerahan Rumah Giat Mara

Majlis Penyerahan Rumah Baik Pulih - Giat Mara

Majlis Penyerahan Rumah Baik Pulih dibawah kelolaan Giat MARA Langkawi berlansung di Kg Padang Lalang Mukim Ayer Hangat Langkawi. Majlis disempurnakan oleh Dato Bakaq bersama YB Rawi ADUN Ayer Hangat.

Diharap aktiviti seperti ini ditingkat kan oleh Mara. Terima Kasih kepada CEO Giat Mara Malaysia & Giat Mara kerana berkenan utk membantu penduduk langkawi.

Majlis Bacaan Yasin & sedikit Sumbangan Sempena Penduduk Langkawi yg akan ke Mekah - Masjid Padang Matsirat (Al-Huda)


Majlis meraikan bakal jemaah Haji Langkawi diadakan di Masjid Alhuda Padang Matsirat Langkawi. Hadir bersama adalah bakal-bakal jemaah haji langkawi, Pengurus Tabung Haji Langkawi,

Moga-moga jemaah haji yg pergi mendapat Haji Mabrur & selamat pergi dan kembali.

Monday, March 29, 2010

Tanaman Padi Dua Kali Setahun Akan Dilaksanakan Di Langkawi

LANGKAWI, 27 Mac (Bernama) -- Projek penanaman padi dua kali setahun akan dilaksanakan secara menyeluruh di Langkawi membabitkan kawasan seluas lebih 1,000 hektar, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom. Katanya untuk menjayakan rancangan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membina beberapa kolam takungan air bagi membekalkan air ke sawah. Beliau berkata projek perintis penanaman padi dua kali setahun di pulau itu bermula pada 2006 melibatkan kawasan sawah seluas 300 hektar di Padang Matsirat dengan mendapat bekalan air dari Telaga Tujuh.

"JPS mengenal pasti beberapa kawasan untuk dijadikan takungan air untuk menyalur air ke sawah," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan potensi untuk dibina kolam takungan di sini, pada Sabtu.Katanya pada masa ini kebanyakan pesawah menanam padi setahun sekali kerana masalah bekalan air dan yakin apabila kolam takungan air dibina projek tanaman dua kali setahun akan dilaksanakan.

Johari berkata, pihaknya memerlukan peruntukan sebanyak RM700,000 termasuk RM500,000 untuk mengambil tanah projek kolam takungan di Bukit Lembu Kedawang manakala baki untuk memasang paip air di Bukit Hantu. Beliau berharap pengeluaran padi di Langkawi akan meningkat kepada 5.5 tan metrik sehektar berbanding 3.5 tan pada masa ini. Mengenai permohonan nelayan Sungai Kuah mengadakan jeti pendaratan, Johari berkata, pihaknya akan terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebelum menimbang sebarang projek. Mungkin LADA mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan Sungai Kuah di sini, katanya."Kita juga mahu melihat kedudukan jeti sedia ada dan sebarang keputusan perbincangan dengan LADA akan dimaklum kemudian", katanya.-- BERNAMA

Anaklangkawi :-Kalau nak salurkan air dr Telaga Tujuh pastikan air yg diambik di kawasan bawah air terjun.. BUkan kat ataih.. kalau tak keringla ayiaq terjun tu.. Punah pulak salah satu tempat pelancongan..

Monday, November 9, 2009

Hotel perlu miliki sijil halal


PADANG MATSIRAT - Semua premis hotel di seluruh negara terutamanya di Langkawi perlu mengemukakan sijil halal selepas kerajaan menggubal Akta Halal 2010. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pada ketika ini semua hotel tidak diwajibkan untuk memohon sijil status halal. Menurutnya, namun mulai tahun depan, kerajaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan kerajaan tempatan akan merangka akta berkenaan.

“Tiada pendekatan mewajibkan hotel untuk memohon sijil halal kerana kerajaan masih mengambil beberapa faktor yang melibatkan status halal. “Kita telah mempunyai makmal untuk mengenal pasti makanan dan minuman halal, namun akta itu masih dalam penggubalan yang perlu dipersetujui oleh kabinet,” katanya ketika menghadiri Majlis Penutup Kolokium Bina Insan dan Pemantapan Sahsiah Pegawai-pegawai Tertinggi Kerajaan Zon Utara dan Pahang di Langkawi Lagoon Resort, Padang Matsirat.

Jamil Khir berkata, untuk mendapatkan sijil halal dipengaruhi oleh faktor sampingan seperti cara penyediaan makanan, tempat penyimpanan dan isi kandungan makanan itu. Menurutnya, kini orang ramai semakin sedar untuk memilih hotel atau premis makanan yang halal dan bersih di sisi agama. “Orang ramai kini makin prihatin tentang pemilihan makanan dan tempat makan, oleh itu pelaksanaan mewajibkan hotel mempunyai sijil halal masih dalam pertimbangan,” katanya.

“Kursus ini menekankan semangat integriti dalam sesuatu organisasi, kepentingan kepimpinan dalam menerajui sesuatu organisasi. “Biarlah kepimpinan Islam mencari penanda aras kepada bangsa lain dalam menjalankan tugas dan perlu dicontohi,” katanya. Jamil turut menyarankan bangsa lain mengikuti program tersebut supaya mereka tahu kepimpinan Islam itu adalah lengkap dan terbaik. Seramai 60 pegawai tinggi kerajaan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Pahang mengikuti kursus tersebut selama tiga hari di Langkawi Lagoon Resort.

Anaklangkawi :-

Inilah yg ditunggu-tunggu oleh umat islam Malaysia. Kadang2 kita makan di hotel-hotel sering tertanya-tanya status restoran di hotel tersebut. Akta adalah cara yg paling sesuai & dgn mewajibkan semua hotel maka memudahkan pengguna islam.

p/s: walaupun patut dibuat lama dah akta ni.. tapi better late than never..

Monday, October 5, 2009

Langkawi berpotensi jadi hab pendidikan

PADANG MATSIRAT - Langkawi berpotensi menjadi hab pendidikan Asia pada tahun 2014 dengan memperkenalkan program pendidikan pelancongan di Institut Kemahiran Tinggi Langkawi (IKTL) dengan kerjasama majlis Amanah Rakyat (Mara). Rektornya, Abdul Razak Bashah berkata, kumpulan pelajar sasaran di IKTL kini adalah terdiri daripada pelajar dari negara China dan beberapa negara di Asia yang lain.

Menurutnya, pelbagai program telah dirangka untuk mereka antaranya, mengikuti program hidap desa di kampung-kampung terpilih bagi memperkenalkan budaya dan adat masyarakat di sini. “Kami sedang rancang melakukan promosi ke negara Asia dan yang terdekat adalah Indonesia dan Thailand, selain menelaah pelajaran mereka dapat melancong di Langkawi, dengan cara ini industri pelancongan tempatan dapat ditingkatkan.

Bukan itu sahaja, keluarga pelajar yang datang untuk melawat anak mereka yang sedang belajar di sini juga mampu meningkatkan industri pelancongan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di Padang Matsirat. Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, Pengurus Besar Kraf Malaysia, Norizan Lob dan wakil Mara serta alumni IKLT. Abdul Razak berkata, kini pelajar IKTL mempunyai bangunan sendiri yang dijadikan kampus yang terletak di Bangunan Mara di Padang Matsirat. Menurutnya, setakat ini terdapat 120 pelajar yang sedang mengikuti pengajian manakala alumni seramai 300 pelajar.

“Kesemua graduan dari IKTL mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor selepas mengikuti pengajian di sini selama enam semester menyamai tiga tahun dan dilengkapi dengan latihan praktikal,” katanya. Sementara itu, Ir Nawawi berkata, program IKTL disokong penuh dalam melahirkan graduan produk dari Langkawi sekali gus menjadikan Langkawi sebagai lokasi pendidikan masa hadapan.

Beliau berkata, tempias daripada IKTL juga memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan restoran dan gerai makan di sekitar kampus berkenaan. “Saya berharap dalam tempah lima tahun institut ini mendapat status kolej universiti kerana mendapat sambutan dari pelajar luar negara.

“Kursus yang ditawarkan juga perlu dibanyakkan dan saya berharap program pra bahasa Inggeris seperti Muet ditawarkan kepada pelajar yang bakal memasuki universiti, kerana program itu adalah wajib bagi setiap pelajar di negara ini,” katanya. Beliau turut berharap baki penyewa di bangunan Mara dapat mengosongkan premis mereka memandangkan surat pengosongan bangunan telah diberi beberapa bulan lalu.

Sinar Harian 5/10/09

Anaklangkawi :-
Saya rasa if better Langkawi tumpukan utk menjadi hab pelancongan. Kalau nak bersaing dgn kawasan lain di Malaysia pun dah payah.

Thursday, September 3, 2009

Tak Puasa - Satu restoran disaman, dua diarah tutup

Gambar Hiasan Semata-mata

PADANG MATSIRAT - Sebuah restoran disaman manakala dua lagi diarah tutup oleh Pejabat Agama Daerah Langkawi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) dalam operasi pemeriksaan terhadap restoran yang menjalankan operasi sebelum jam tiga petang di bulan Ramadan. Dalam operasi tersebut, sebanyak tiga premis makanan diperiksa dalam operasi Ramadan yang dilakukan selama dua jam di sekitar pulau ini. Pegawai Penguatkuasa Agama, Saiful Aswad berkata, rondaan dilakukan di Pantai Chenang, Padang Matsirat, Kuah dan Pantai kok. Menurutnya, sebuah restoran telah disaman dan semua makanan dirampas diikuti dua lagi premis diarah tutup.

“Kita telah mempunyai senarai lengkap restoran yang menjalankan operasi penjualan makanan dan minuman sebelum jam tiga petang seperti yang telah termaktub. “Mereka telah diberi peringatan dan notis oleh Pejabat Agama dan Pejabat Daerah, sekiranya ingkar mereka dikenakan tindakan dengan mengeluarkan kompaun dan restoran tersebut boleh disita,”
katanya ketika menjalankan operasi di sekitar Padang Matsirat. Saiful berkata, seramai lima pegawai daripada Pejabat Agama diarah membuat rondaan setiap hari dari jam 10 pagi hingga tiga petang.

Menurutnya, restoran yang menjalankan operasi awal diarahkan tutup dan diberi peringatan sebelum tindakan diambil, manakala restoran yang ingkar akan disita oleh pihak MPL selepas notis peringatan diberi. “Tangkapan akan dilakukan sekiranya seseorang yang beragama Islam didapati makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai,” katanya. Beliau berkata, sekiranya mereka membeli makanan atau minuman dan membawa pulang pihak Pejabat Agama daerah tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan.

Kami akan meneliti pula waktu operasi kedai makan tersebut sekiranya melanggar syarat maka mereka akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dengan denda RM500. “Manakala premis tersebut boleh didenda sehingga RM1,000 atau disita mengikut akta perundangan dari Pejabat Daerah,” katanya

Sinar Harian 2/9/09

Anaklangkawi :-

Awat tak posa. Buat malu ja.. Yg restoran pun tumpang sekaki.. KOt nak cari duit lebih pun bukakla dekat bukak posa.

Sunday, August 30, 2009

Banjir gelombang kedua melanda Langkawi

KEDAWANG - Hampir suku daripada Langkawi lumpuh apabila menerima gelombang kedua ribut banjir sejak petang kelmarin. Hanya berselang 48 jam dari gelombang pertama sebahagian besar pulau itu dengan melibatkan mukim Kedawang, Padang Matsirat dan Bohor terjejas teruk.

Kawasan bendang berubah dengan sekelip mata menjadi lautan, puluhan haiwan ternakan terkandas di tengah bendang dan paling menyedihkan beratus mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Mukim Kedawang. Dalam kejadian lewat petang semalam, hujan lebat tidak berhenti diikuti ribut menyebabkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kesihatan Padang Matsirat berkawal dan berkampung di Pusat Pemindahan banjir di SMK Kedawang selama 24 jam.

Sehingga jam tiga pagi kelmarin, seramai 360 orang dengan 75 keluarga dicatatkan berpindah ke pusat itu dan sehingga jam dua petang semalam, jumlah keseluruhan menjadi 500 orang melibatkan 100 keluarga. Kampung yang terjejas teruk adalah Kampung Belak, Paya Mempelam, Bohor Tempoyak, Tanjung, Bohor Masjid, Gelam, Bukit Kemboja, Nyior Chabang, Lubuk Setol, Bohor Berendan dan sekitar Padang Matsirat. Namun kawasan sekitar Pantai Chenang yang menjadi tumpuan pelancong terselamat dari bah kedua yang dianggap paling tragis bagi tahun ini.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Yaakob Othman, seramai 16 orang diarah untuk memindahkan mangsa dengan kerjasama JPAM. Menurutnya, pihak bomba memantau seluruh kawasan terjejas dan memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. “Kami mengerakkan dua kumpulan anggota dari Balai Persiaran Putera dan Ayer Hangat, kami berkawal dari petang kelmarin sehingga keadaan pulih.

“Kami melakukan pemantauan serta memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang dibuka mengikut mukim, buat masa ini tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Gelam, Said Othman berkata punca utama banjir disebabkan oleh pintu air atau kunci air yang terdapat di Kuala Chenang begitu sempit dan gagal mengalirkan air dari bendang sekitar Kedawang sehingga menyebabkan limpahan berlaku.

Menurutnya, kejadian berlaku seolah-olah mengimbau kejadian tsunami lima tahun lalu yang mana kawasan ini terjejas teruk sehingga pangkalan nelayan ini musnah dan terdapatbot nelayan hanyut sehingga merosakkan kediaman dan kenderaan berhampiran. “Kami merayu kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran menambah pintu air, dalam kejadian hari ini tembok pintu air tersebut hampir roboh dan kami terpaksa berpindah dan menyelamatkan harta benda,” katanya.

Pada kejadian bermula jam enam petang kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, Pergerakan Pemuda dan Putera UMNO, Persatuan Belia bertungkus lumus menyediakan hidangan berbuka di pusat pemindahan tersebut.

Manakala bagi juadah bersahur, ia disumbangkan Ahli Parlimen Datuk Paduka Abu Bakar Taib dan Yang Dipertua Pas, Zubir Ahmad. Jabatan Kesihatan Padang Matsirat turut mengadakan pemeriksaan kesihatan diikuti polis dan JKM mengumpul segala maklumat mangsa sehingga kini. Sehingga jam dua petang semalam, mangsa di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang terus bertambah dan semakin sesak

Sinar Harian 30/8/09

Anaklangkawi :-
Kalau semua ahli politik begini .. aman & nyaman org2 langkawi.. Apa2pun ni merupakan dugaan kepada keluarga yg terlibat.

Program Bubur Lambuk ~ Belia 4B


29/8/09

Padang Matsirat - Pergerakan Belia 4b Langkawi semalam telah mengadakan aktiviti mengedarkan bubur lambuk di Bazar Ramadan di Padang Matsirat semalam. Aktiviti yg bertujuan merapatkan sesama ahli & penduduk setempat mendapat sambutan yg menggalakkan.

Anaklangkawi :-
Moga2 program seperti ini akan berterusan di bulan yg mulia ini.

Thursday, August 27, 2009

Laporan Bantuan Mangsa Banjir ~ YB Parlimen Langkawi

~email diterima~


YB Dato' Paduka Abu Bakar Taib baru-baru ini membuat lawatan kepada mangsa banjir yg berlaku di Langkawi. Dato' Bakaq telah melakukan lawatan ke Kg Sungai Kedak, Kg Kuala Teriang, Kg Bohor Berendam, Kg Belak, Kg Bohor Tempoyak, Kg Ulu Melaka, Kg Pdg Matsirat, Kg Raja/ Atas di Mukim Padang Matsirat.

Untuk meringankan beban akibat banjir Dato' Bakaq telah menyerahkan sumbangan kepada penduduk yg terlibat. Walaupun tidak banyak diharap sumbangan berkenaan dapat meringan beban akibat banjir kilat tersebut.

Kampung Terlibat : Kg Sungai Kedak, Kg Kuala Teriang, Kg Bohor Berendam, Kg Belak, Kg Bohor Tempoyak, Kg Ulu Melaka, Kg Pdg Matsirat, Kg Raja/ Atas

Tempat : Perkarangan Masjid Lama Pdg Matsirat ( Masjid Kg Raja), Dewan Sekolah Menengah Kedawang

Tarikh : 24, 25 & 26 Ogos 2009

Sumbangan diberikan : RM 11,800 melibatkan 59 Keluarga

Perincian Keluarga Terlibat :-

*6 keluarga dari Kg Sg Kedak dan 2 keluarga dari Kg Kuala Teriang
*30 keluarga daripada Kg Belak,Mk Kedawang dan 8 keluarga daripada Kg Bohor Tempoyak,Mk Kedawang
*13 keluarga dari kalangan penduduk Kg Pdg Matsirat & Kg Raja/Atas


Anaklangkawi :- Eloklah tolong menolong di bulan yg mulia...Sama2 kita jgn lupa mereka2 yg susah..

Susulan ~ Berita Harian

LANGKAWI: Seramai 76 keluarga dari Mukim Kedawang dan Padang Matsirat yang menjadi mangsa banjir sejak Ahad lalu, menerima bantuan wang tunai lebih RM15,000, kelmarin. Bantuan disampaikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Masjid Kampung Raja Padang Matsirat dan Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Teriang, di sini.

Terdahulu, semua mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi kelmarin selepas air surut dan keadaan kembali pulih. Abu Bakar berkata, setiap keluarga menerima wang tunai RM200, selain sumbangan barangan keperluan harian seperti gula, beras dan minyak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terbabit," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Seorang mangsa, Yahya Ahmad, 45, dari Kampung Belak, Mukim Kedawang berkata, banjir sedalam 0.5 meter menjelang waktu berbuka itu menyebabkan beliau serta keluarga tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik. "Banyak perabot dan barangan elektrik yang baru dibeli musnah kerana tidak sempat dibawa ke tempat lebih tinggi.

"Bantuan ini dapat meringankan beban saya untuk menyediakan keperluan semasa kepada keluarga, tetapi bagi persiapan Aidilfitri belum fikir lagi," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Syarifah Saidin, 32, juga dari Kampung Belak berkata, dia berterima kasih kerana ada pihak yang sudi memberi sumbangan berkenaan.

"Sekurang-kurangnya sumbangan ini mampu menceriakan kami seketika kerana walaupun air sudah surut, tidak mustahil banjir boleh melanda semula kerana cuaca masih mendung," katanya

Tuesday, August 25, 2009

Tiga mukim terjejas akibat banjir ~ Pdg Matsirat

PADANG MATSIRAT - Tiga kawasan Mukim di Langkawi ditenggelami air setinggi satu meter dalam kejadian banjir kilat kelmarin. Hujan yang berlarutan sejak malam 22 Ogos mengakibatkan Mukim Padang Matsirat, Ulu Melaka, Bohor dan beberapa kawasan di Kedawang terjejas teruk. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid, kejadian banjir ini disebabkan oleh perubahan muka bumi di Langkawi.

“Air dari Gunung Raya mengalir ke laut, manakala laut pula mengalami ombak besar dan terdapat banyak rumah di persisiran itu secara polar berjajar mengakibatkan rumah mereka menjadi laluan air. “Keadaan laluan air yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran 10 tahun lalu sudah tidak relevan, memandangkan terdapat banyak rumah dan evolusi muka bumi telah berubah,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kuala Teriang.

Mohd Rawi berkata, pihak JPS perlu menambah baik sistem laluan air di Lubuk Setol ke Padang Matsirat dan mendalamkan sungai untuk mengelakkan kejadian ini berlaku lagi. Menurutnya, semua mangsa banjir diminta membuat tafsiran dengan membuat laporan polis termasuk kemusnahan barangan dan bendang. “Mangsa di pusat pemindahan banjir diharap terus tinggal di dewan ini, Jawatan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) akan terus memantau keadaan cuaca sehingga mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian pada jam lima petang mendapati, keadaan semakin genting apabila paras air mula meningkat secara mendadak hingga menjangkau kira-kira dua meter. Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Langkawi, Kapten Khairul Hisyam Husni berkata, banjir kilat berkenaan dipercayai berpunca dari limpahan air dari kawasan sawah berdekatan yang bertembung dengan Sungai Kuala Melaka dan air laut pasang besar berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, air naik perlahan-lahan setinggi 0.5 meter (m) atau separas pinggang orang dewasa sejak jam 1.30 petang kelmarin dan sehingga kini keadaan masih tidak berubah. Sejurus menerima maklumat awal menunjukkan ada tanda paras air akan meningkat pada jam 11 pagi, kami melancarkan operasi pemantauan di beberapa kampung termasuk Kampung Ulu Melaka dan Kampung Atas di Padang Matsirat. “Menjelang jam 5 petang paras air di kebanyakan rumah di Kampung Atas mencapai 0.5 meter, lalu operasi memindahkan penduduk dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, pagi semalam operasi memindahkan penduduk masih diteruskan apabila dua keluarga dari Kampung Kuala Teriang dipindahkan ke dewan orang ramai kampung berkenaan mulai jam 7 pagi. Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang diketuai oleh Ishak Hashim pula, mengarahkan 30 anggota memantau kawasan digenangi banjir di seluruh kawasan Padang Matsirat serta berkawal sedia 24 jam.

Sinar Harian 25/8/09

Anaklangkawi :-
Banjir yg jarang2 berlaku.. Elokla pi pakat tolong2.. jgn biaq anak dok pi main ayiaq acaq

Sunday, August 23, 2009

Langkawi bakal tubuh Smidu ~ MB Kedah


PADANG MATSIRAT - Langkawi bakal mendirikan sebuah lagi Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (Smidu) bagi kesinambungan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (Sridu) di Ulu Melaka. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Smidu akan menjadi Sekolah Menengah Agama tunggal di Langkawi.

Menurutnya, penubuhan Smidu bakal memberi peluang kepada masyarakat tempatan melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah Menengah dan mendalami bidang agama. “Langkawi ketandusan sekolah menengah agama, Kerajaan Pusat berhasrat untuk membinanya bagi memudahkan pelajar Sridu melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah tanpa perlu ke tanah besar.

“Malah mereka boleh memilih sekolah itu sebagai asas pembelajaran dalam mendalami agama dan tidak perlu ke sekolah kebangsaan lain,” katanya ketika majlis perjumpaan Menteri Besar dengan penduduk setempat di bawah program pendidikan sekolah agama rakyat di Kampung Ranggut, Padang Matsirat. Azizan berkata, penubuhan sekolah ini juga dapat melahirkan generasi berjiwa Islam yang boleh berkhidmat kepada anak bangsa terutamanya kepada penduduk Langkawi.

Menurutnya, kos pembinaan masih di peringkat perbincangan dan perlaksanaannya akan dilakukan segera selepas mendapat mengira kos dan permintaan daripada penduduk setempat. “Kami ingin lahirkan generasi celik agama dan seterusnya dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan pelajar dan masyarakat di pulau ini,” katanya. Beliau berkata, pendekatan awal adalah asas agama yang kukuh, menguatkan pendekatan terhadap Islam dan batas-batasnya.

“Pendidikan adalah penting untuk pegangan hidup, penubuhan sekolah ini juga berupaya melaksanakan Islam syumul untuk generasi akan datang. “Penubuhan sekolah ini juga berupaya menarik minat pelajar dari tanah besar dan antarabangsa yang terdapat di pulau ini untuk melanjutkan pelajaran berasaskan agama,” katanya. Beliau turut mengingatkan masyarakat dalam membanteras gejala sosial, penglibatan keluarga adalah penting dalam memantau hala tuju anak mereka.

Sinar Harian 23/8/09

Anaklangkawi :-
Berita yg cukup baik utk org Langkawi. Alhamdulillah.. hadiah yg baik dibulan mulia ni..

Friday, June 5, 2009

Kekerapan karnival majukan Langkawi

KUAH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri akan meneruskan usaha membangunkan semula premis kepunyaannya yang kelihatan hambar dengan mengadakan pelbagai karnival sepanjang tahun. Pengarahnya, Ahmad Rakhli Hasan berkata, usaha sedang giat dilakukan termasuk menganjurkan Karnival Jualan Mega di seluruh negeri ini.

Menurutnya, di Langkawi antara tempat yang menjadi tumpuan adalah premis di Plaza Langkawi yang bernilai RM3.7 juta diikuti Island Plaza di Padang Matsirat yang bernilai RM2.4 juta. “Kami tidak mahu bangunan yang berjumlah RM6.1 juta tersebut menjadi gajah putih atau sunyi tanpa kehadiran pengunjung termasuk pelancong.

“Di Plaza Langkawi terdapat 107 premis perniagaan manakala di Plaza Island terdapat 13 premis yang masih menjalankan perniagaan selain tiga premis di Kompleks Pekan Rabu,” katanya ketika pelancaran Karnival Jualan Cuti Sekolah Satu Malaysia yang berlangsung selama 13 hari berakhir 13 Jun ini di pekarangan Plaza Langkawi, Kuah.

Pelancaran karnival julung kali itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid, hadir sama, Pengerusi Persatuan Peniaga Plaza Langkawi, Amirul Shafik Abdullah. Ahmad Rakhili berkata, karnival yang mengambil contoh Jualan Akhir Tahun Malaysia itu diyakini mampu menarik pelancong ke pulau ini, seterusnya merancakkan lagi industri pelancongan.

Menurutnya, jualan itu bukan saja dapat menggalakkan aktiviti membeli-belah, malah memupuk sifat berjimat dalam kalangan pengguna sepanjang karnival berkenaan dengan mengambil peluang mendapatkan barangan pada harga lebih rendah. “Ia menyediakan platform kepada usahawan, pemborong dan peruncit bukan saja dalam kalangan Bumiputera, malah terbuka kepada semua kaum bagi memasarkan pelbagai produk keluaran masing-masing,” katanya. Beliau berkata, seramai 40 peniaga menyertai karnival itu dengan membuka gerai pakaian, perubatan tradisional, pinggan mangkuk, makanan dan barangan cenderamata, selain persembahan hiburan.

Sementara itu, ketika ditemui pada majlis sama, Mohd Rawi berkata, pulau itu berpotensi menjadi pusat membeli-belah terkemuka yang berupaya menarik pelancong asing, sekiranya karnival jualan dilakukan lebih kerap. "Kita boleh mengambil contoh Dubai yang mampu menarik 10 juta pelancong setahun. Antara faktor kejayaannya berpunca daripada penganjuran karnival jualan sepanjang tahun sebagai tarikan kepada pelawat,” katanya.